6 Tips Mengekalkan Perhubungan Jarak Jauh Dalam Pandemik COVID-19

Kepesatan dunia hari ini menuntut sebahagian individu untuk berada jauh daripada keluarga. Antara faktor menyumbang fenomena ini ialah peluang pekerjaan berstatus tetap di lokasi berbeza, jenis dan skop pekerjaan yang mempunyai komitmen di lokaliti tertentu dan keperluan sesetengah jawatan penting di kawasan ditetapkan.

Bagaimanapun, pandemik COVID-19 yang melanda dunia menyebabkan lebih ramai orang terpaksa mengalami perhubungan jarak jauh ini. Ibu ayah terpisah daripada anak-anak, suami tidak berjumpa isteri untuk tempoh lama dan anak-anak lebih memilih untuk tidak bersua orang tua kerana bimbang akan keselamatan mereka.

Justeru, bagaimanakah kita dapat mengekalkan perhubungan jarak jauh ini terutama yang disebabkan faktor COVID-19.

1. Sentiasa berfikiran positif dan kekal berhubung ialah asas kepada pengukuhan hubungan berkenaan. Walaupun tidak mampu menyamai perasaan ketika berada berhampiran, kiriman ingatan seperti makanan kegemaran ataupun hadiah melalui aplikasi pesanan dalam talian dapat meredakan ketegangan emosi ahli keluarga tinggal berjauhan.

2. Penggunaan servis kejutan hari istimewa disediakan pihak tertentu boleh menjadi antara usaha mengeratkan kasih sayang sesama mereka.

3. Di sebalik kesibukan menjalani rutin harian, ingatan ringkas melalui pesanan suara dan video pendek mampu menjadi penghapus kerinduan. Bagi anak yang tidak dapat berada bertemu dengan ibu bapa disebabkan kekangan COVID-19, mereka boleh bertanya khabar secara berterusan mengenai perihal mereka adalah satu kemestian.

4. Kita perlu mengenali individu yang tinggal dalam kawasan kejiranan ibu bapa dapat memastikan mereka sekeluarga tidak terputus hubungan.

Tidak dinafikan, kehidupan suami isteri tinggal berjauhan adalah sesuatu mencabar kerana tanggungjawab dipikul ada kalanya menjadi lebih berat apabila bersendirian.

5. Dengan bercerita mengenai kehidupan seharian antara sesama pasangan dapat membuatkan ikatan menjadi lebih utuh. Contohnya, meluahkan kelelahan di rumah ataupun tempat kerja dan berkongsi masalah dapat membuatkan bebanan perasaan sedikit ringan.

6. Manusia ada waktunya memerlukan sokongan daripada kumpulan. Menyertai kelompok mereka yang terbabit dalam hubungan jarak jauh ini, mereka boleh berkongsi petua dan kekuatan serta menguatkan mental untuk menempuhi hari mendatang.

Segala usaha untuk menguatkan ikatan kekeluargaan ini akan tercapai apabila semua pihak cuba untuk saling berhubung dan mengirimkan ingatan tidak kira dengan apa cara sekalipun.


Kredit kepada : 
Dr Nurul Badriyah Ali dan Dr Syaimak Ismail
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

5 Tips Mengekalkan Prestasi Kerja Ketika Berkerja Di Rumah